GERIK, 9 Mac — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama di Kuala Kangsar dan Lenggong dekat sini, menerusi Operasi Benteng Fasa 22 Sabtu lepas, melibatkan rampasan bernilai RM1.59 juta.

Pengarah Kastam negeri Datuk Dr. Mohamad Sapirin berkata pasukan Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu JKDM Perak telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Isuzu di Hentian Rehat dan Rawat Selat Pagar, Lenggong pada pukul 8 pagi dan menjumpai sejumlah rokok yang disyaki barang larangan kastam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan rapi oleh pasukan serbuan mendapati terdapat kira-kira 1.7 juta batang rokok putih dengan anggaran duti RM1.13 juta.

“Seorang lelaki tempatan (pemandu) berusia 31 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan JKDM telah merampas lori tersebut bersama barang larangan berkenaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kes kedua, pasukan itu merampas kira-kira 690,000 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran duti RM460,620 di Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak arah selatan, pada pukul 6 pagi hari sama.

Bagaimanapun, katanya tiada penahanan dilakukan berikutan hanya lori bersama barangan itu ditinggalkan di lokasi dan kesemua barangan kes dibawa ke Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan ‘seal’ syarikat pengeposan pada pintu muatan lori bagi mengelirukan pihak berkuasa. 

Mohamad berkata pihaknya masih menyiasat sumber bekalan barangan seludup itu yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Perak.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol 1800-88-8855 atau di pejabat kastam berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here