KUALA LUMPUR, 12 Mac  — Pembuat elektronik terkemuka Jepun, ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (RWEM) sedang mengembangkan fasiliti komponen elektronik di Kelantan dengan nilai pelaburan sebanyak RM910 juta.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan itu dijangka mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk lebih daripada 340 rakyat Malaysia dan ia merupakan satu pelaburan terbesar yang pernah dibuat oleh syarikat berkenaan yang secara uniknya akan meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian nilai global semikonduktor dan automotif.

Menteri Kanan serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam responsnya terhadap pengumuman RWEM itu hari ini berkata keputusan pelaburan itu merupakan langkah strategik ROHM-Wako Electronics bagi membina kehadiran jangka panjang di rantau ASEAN.

“Malahan, pengembangan penting ini menandakan keyakinan syarikat terhadap keupayaan bakat tempatan yang merangkumi jurutera dan juruteknik yang berkemahiran tinggi.

“Prestasi pelaburan ROHM-Wako Electronics di Malaysia adalah yang paling menggalakkan, dengan kemudahan pembuatan baharu ini menjana peluang pekerjaan untuk bakat tempatan, ia akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat serta pembangunan komersial di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek pengembangan itu juga adalah selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menjadikan Malaysia sebuah hab pelaburan strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata projek pengembangan syarikat itu dijangka akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Sementara itu, Presiden RWEM, Hideki Hashimoto berkata syarikat itu yakin ia telah membuat keputusan yang tepat untuk terus melabur di Malaysia.

“Pengembangan ini penting bagi pertumbuhan perniagaan dan inovasi yang berterusan, dan dengan bantuan tenaga kerja tempatan yang mahir serta boleh dipercayai di fasiliti tersebut, kami yakin bahawa kami telah membuat keputusan yang tepat untuk terus melabur di negara ini,” kata Hashimoto.

Kenyataan itu menjelaskan fasiliti baharu itu akan dibina di dalam premis RWEM dan merupakan tindak balas kepada permintaan yang kukuh untuk semikonduktor selain mempromosikan sistem pengeluaran pelbagai tapak Integrasi Berskala Besar (LSI) analog dan transistor selaras dengan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM).

Pembinaan bangunan baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 1.5 kali.

Pembinaan kemudahan baharu, yang dijangka mempunyai bangunan 3 tingkat dengan luas lantai 29,580 meter persegi dijangka bermula pada suku pertama 2022 dan siap menjelang Ogos 2023.

Pengembangan ini akan memberi kapasiti untuk komponen tambahan Transistor Talian Lebar dan Litar Pemacu Gerbang Bersepadu yang biasanya dipasang dalam kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.

Komponen ini juga akan digunakan dalam pengeluaran semikonduktor diskret sedia ada oleh syarikat tersebut seperti diod, diod pancaran cahaya dan diod laser yang digunakan dalam pelbagai produk pengguna elektronik seperti audio serta video, TV, komputer riba termasuk telefon bimbit, katanya.

“Ini adalah selaras dengan Dasar Automotif Nasional Malaysia (NAP) 2020 yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu di kawasan mobiliti masa depan,” tambah MIDA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here