MELAKA, 14 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pejabat Melaka berjaya menyelesaikan kesemua 647 aduan berkaitan kepenggunaan yang direkodkan di negeri itu tahun lepas.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata bagi tahun ini, sehingga semalam KPDNHEP Melaka telah merekodkan 121 aduan yang diterima melalui pelbagai medium disediakan.

Beliau berkata antara aduan yang diterima sepanjang tahun lepas ialah masalah berkaitan pembelian dalam talian yang menyaksikan barangan diterima tidak sama dengan yang dibeli, barangan diterima rosak atau tidak sampai kepada pengguna.

“Ada juga aduan berkaitan masalah pengubahsuaian rumah yang tiada perjanjian bertulis, dan ia tidak siap mengikut tempoh ditetapkan walaupun bayaran dibuat sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu Norena berkata 188 kes tuntutan difailkan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada tahun lepas dan daripada jumlah itu 163 tuntutan telah diselesaikan, manakala baki 25 kes sedang dalam siasatan kerana ia melibatkan bidang kuasa agensi lain serta terdapat permohonan penangguhan oleh pihak penuntut.

“Dalam usaha menjaga kebajikan pengguna pula, dari Jan sehingga 13 Mac lepas sebanyak 9,898 premis diperiksa bagi memastikan segala undang-undang yang dikuatkuasakan dipatuhi oleh semua peringkat pemain industri yang terbabit dengan perdagangan dalam negeri. 

“Hasil tindakan secara proaktif dan berterusan 123 kes telah dikenal pasti dengan jumlah kompaun direkodkan sebanyak RM18,600 dan nilai sitaan RM1,427,” katanya.

Beliau berkata ia melibatkan 93 kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan; Akta Kawalan Bekalan (lima kes), Akta Timbang Sukat (17 kes) dan Akta Perlindungan Pengguna (lapan kes).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here