KUALA LUMPUR, 25 Mac — Kerajaan akan mewajibkan pemasangan peranti defibrilator luaran automatik (AED) di fasiliti awam pada 2025, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

AED adalah peranti yang boleh menganalisis denyutan jantung dan memberi maklumat kepada penyelamat sama ada untuk menyampaikan arus renjatan kepada mangsa serangan jantung terutama di tempat awam. 

Khairy berkata perkara itu akan dibawa kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk disokong pelaksanaannya sejajar keputusan kerajaan pagi tadi meluluskan dasar ‘AED public access’ iaitu meletakkan peranti berkenaan di kawasan awam.

“Kita akan mulakan dengan satu program yang diberikan nama (Jaringan) MyAED Komuniti yang mana Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan St John Ambulans (SJAM) akan menyediakan 100 AED buat permulaan di seluruh Malaysia.

“Bukan hanya sedia AED, (tetapi juga) bertanggungjawab menyelenggara AED dan yang penting melatih sukarelawan untuk menggunakan AED tersebut,” katanya selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM di sini hari ini.

Beliau berkata projek pemasangan AED itu akan dilancarkan pada Jun depan dengan peruntukan RM3 juta.

Khairy juga berkata bagi Projek Ambulans Hotspots iaitu sambungan bagi projek perintis yang dilaksanakan tahun lepas, SJAM dan PBSM akan menambah 15 lokaliti menjadikan pengoperasiannya kepada 20 hotspot di seluruh negara.

“Kita akan cuba lancarkan pada April depan dan menjadikan 20 hotspot yang dikendalikan oleh SJAM dan PBSM seluruh negara.

“Kita sasarkan tempoh respons ambulans iaitu 15 hingga 30 minit untuk keutamaan kecemasan dalam radius kurang dari 10 kilometer, itu KPI kita dan kita telah luluskan peruntukan sebanyak RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil terhadap penerima vaksin Sinovac yang belum mendapatkan dos penggalak namun individu terbabit tidak dapat menikmati kelonggaran seperti penerima vaksin lengkap selepas status vaksinasi mereka bertukar pada 1 April ini.

Terdahulu, Khairy menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman antara SJAM dan PBSM bagi menjalin kerjasama strategik di Ibu Pejabat Kebangsaan SJAM di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Pemerintah Agung SJAM Datuk Lai See Ming dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan PBSM Dr S. Selva Jothi.

MoU itu bertujuan meningkatkan kerjasama dalam program perkhidmatan ambulans, pertolongan cemas masyarakat, bantuan bencana dan promosi kesihatan sekali gus menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan semasa kecemasan atau krisis.

Ia juga bagi menyelaras perkhidmatan dan sumber yang mempunyai jurang atau pertindihan dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here