PUTRAJAYA, 13 April — Penilaian Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK) terhadap 460 laporan berhubung kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius mendapati tiada kes kematian yang dilaporkan mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin diterima.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata dapatan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 610 laporan AEFI serius melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin COVID-19 yang diterima yang memerlukan penyiasatan lengkap dan penilaian terperinci tentang hubung kait dengan vaksin.

“Sebanyak 150 laporan masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai status laporan AEFI vaksin COVID-19 hingga 8 April.

Dr Roshayati berkata NPRA secara keseluruhan menerima 26,071 laporan AEFI termasuk 1,552 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 288 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Daripada 1,552 laporan melibatkan penerima dos penggalak, 137 laporan atau sembilan peratus daripada jumlah laporan AEFI dos penggalak diklasifikasikan sebagai serius, katanya.

Setakat 8 April, sebanyak 69,116,358 dos vaksin telah diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan 15,888,555 dos daripadanya merupakan dos penggalak.

Dr Roshayati berkata NPRA juga telah menerima 57 laporan AEFI melibatkan kematian dalam kalangan penerima dos penggalak dan dapatan JFK menunjukkan 25 laporan kematian yang telah lengkap penyiasatan tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.

“Sebanyak 32 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dibentangkan untuk penilaian JFK,” katanya. 

Berhubung kesan AEFI bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, beliau berkata sejumlah 288 laporan diterima dengan 94 peratus daripadanya merupakan kesan tidak serius seperti demam, kegatalan pada kulit, tindak balas stres terhadap proses imunisasi, pening dan sakit kepala.

Menurutnya, terdapat satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) yang masih dalam siasatan lanjut, dan laporan awal mendapati kanak-kanak berkenaan mempunyai sejarah penyakit sedia ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here