CYBERJAYA, 13 April — Kewujudan Hematogenix Malaysia sebagai makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia telah berjaya membawa negara ke arah menjadi destinasi pilihan serantau bagi penyelidikan klinikal.

Clinical Research Malaysia (CRM) dalam kenyataan hari ini menyebut Hematogenix Malaysia di Cyberjaya yang beroperasi sejak Jun 2021 dengan menyediakan perkhidmatan khusus untuk penyelidikan klinikal kanser merupakan satu-satunya makmal seumpama itu di rantau Asia Pasifik yang mendapat akreditasi College of American Pathologists (CAP) dan Clinical Laboratory Improvement Amendments (CLIA).

Lokasinya yang strategik telah meletakkan Malaysia sebagai hab bagi rantau Asia Pasifik dalam menyediakan perkhidmatan makmal berpusat khusus dalam penyelidikan klinikal.

Menurut CRM pada masa ini, Hematogenix Malaysia menguruskan sekurang-kurangnya 10 kajian klinikal melibatkan syarikat farmaseutikal global dan telah memproses lebih 800 spesimen biologi yang diperoleh dari tapak kajian di rantau ini, terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Australia.

Semasa lawatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ke fasiliti Hematogenix, pihak pengurusan telah berkesempatan membincangkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menyediakan perkhidmatan diagnostik berteknologi tinggi untuk pusat kanser selain menawarkan pertukaran kemahiran dan latihan bagi pegawai penyelidik KKM.

Menurut CRM dengan lebih 40 pegawai terlatih dan berkelayakan di Hematogenix Malaysia merangkumi patologis, saintis, pegawai bioinformatik dan jurutera pembangun perisian, syarikat itu mempunyai kemampuan serta infrastruktur diperlukan bagi menjalankan pelbagai ujian ‘biomarker’ (penanda bio) terkini dalam bidang kajian kanser.

Hematogenix merupakan syarikat sains hayat yang menyediakan perkhidmatan diagnostik dan sokongan penyelidikan klinikal bagi syarikat dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi, dengan fasiliti di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan kini di Malaysia.

Pada 2018, Hematogenix telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan CRM, untuk penubuhan makmal pusat yang berpangkalan di Malaysia. 

Syarikat itu juga mampu menghasilkan ujian biomarker kanser baharu secara kendiri yang antaranya telah berjaya diluluskan oleh pihak agensi regulatori di Amerika Syarikat.

Sebagai makmal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, penubuhan fasiliti Hematogenix dipercayai boleh meningkatkan peluang penyelidikan klinikal global ke Malaysia, serta meningkatkan keupayaan bakat para penyelidik dan saintis tempatan.

Pada tahun 2021, CRM telah mencapai kesemua strategi dan objektif Projek Realisasi Fasa 1, sekali gus melengkapkan kesediaan ekosistem penyelidikan klinikal fasa awal di negara ini.

Dengan penubuhan Hematogenix Malaysia ini, sokongan penyelidikan klinikal yang diperlukan dalam melancarkan penyelidikan klinikal global terutamanya dalam pembangunan ubat-ubatan fasa awal kini tersedia di dalam negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here