GEORGE TOWN, 22 April — Persatuan Rohingya di Malaysia (RSM) menasihatkan baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada Rabu lepas supaya segera menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Wakil RSM yang enggan namanya dikenali berkata jika masih bebas, mereka akan terus berada di bahawa pengawasan pihak berkuasa.

“Mereka perlu pergi ke balai polis berdekatan atau meminta tolong daripada sesiapa sahaja supaya menghantar mereka semula ke depot. Mereka perlu menyerah diri kerana mereka bukan penjenayah.

“Jika mereka benar-benar pelarian Rohingya, mereka tidak boleh lari ke negara lain dan mustahil bagi mereka untuk sentiasa dalam pelarian,” katanya. 

Menurut Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad  operasi menjejaki 96 tahanan Rohingya diteruskan hari ini, dan setakat pukul 6 pagi tadi, 76 lelaki, sembilan wanita, tujuh gadis dan empat kanak-kanak lelaki masih bebas.

Jurucakap RSM berkata kemungkinan tahanan yang masih bebas itu takut untuk kembali ke depot.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata pelarian Rohingya berdepan banyak ungkapan kebencian dan prasangka kerana sering dikaitkan dengan insiden seperti ‘Long Tiger’ selain isu membabitkan aktivis Rohingya Zafar Ahmad Abdul Ghani pada April 2020.

Pada awal pandemik COVID-19, media sosial telah memuat naik dakwaan palsu bahawa Zafar mahu pelarian Rohingya diberi hak sama seperti warga tempatan dari segi pendidikan dan pekerjaan, yang kemudian mencetuskan kemarahan kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ini kenyataan yang tidak benar dan kami masih berdepan dengan ungkapan kebencian disebabkan perkara itu,” katanya.

RSM yang berpangkalan di Selangor, diasaskan pada 2010 bagi memberi sokongan kepada komuniti tersebut dari segi pendidikan, akses perkhidmatan kesihatan, sokongan psikososial selain berkoordinasi dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here