NIBONG TEBAL, 27 April — Sebanyak 337 helai jersi pasukan bola sepak Pulau Pinang tiruan bernilai RM15,050, dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pasukan pegawai penguat kuasa kementerian itu bersama wakil pemilik cap dagangan menyerbu sebuah kedai peralatan dan pakaian sukan di Taman Perindustrian Nibong Tebal di sini pada 11.30 pagi tadi dan merampas semua jersi tersebut.

“Kami membuat pemeriksaan dan serbuan itu selepas mendapat aduan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang dan pemeriksaan mendapati 337 helai jersi tersebut telah menggunakan cap dagangan palsu, sebelum merampas kesemuanya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Taman Industri Ringan Mak Mandin, Butterworth dekat sini kerana menjalankan perniagaan kasut berjenama tiruan secara dalam talian.

Beliau berkata dalam pemeriksaan pukul 2 petang itu, pihaknya merampas 1,550 pasang kasut dan 400 pasang selipar pelbagai jenama terkenal tiruan bernilai RM42,750.

Mohd Ridzuan berkata pihaknya mendapat aduan daripada wakil hak cipta dan membuat risikan serta intipan, sebelum menyerbu premis tersebut yang dijadikan stor menyimpan stok kasut dan selipar berkenaan.  

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here