BUTTERWORTH, 29 April — Seorang pemilik kedai peralatan komunikasi hari ini didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan, masing-masing memiliki dan menjual peralatan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Untuk pertuduhan pertama, Hakim Norhayati Mohamad Yunus menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya terhadap Wang Wan Ling, 52, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah memiliki peralatan komunikasi tidak diperakui.

Wang mengaku memiliki sembilan wireless AV sender jenama Pakite model PAT225 dan tujuh wireless AV sender jenama Pakite PAT 535 tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Newfroggy Store, No. 2, Jalan Perai Jaya 2, Bandar Perai Jaya, Perai pada 10 Sept 2021 kira-kira pukul 3.09 petang.

Di Mahkamah Sesyen yang lain pula Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya terhadap Wang yang mengaku bersalah menjual peralatan komunikasi tidak diperakui.

Wang mengaku menjual satu RCA Wireless AV sender jenama Pakite model PAT535 tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kepada pegawai operasi ketika operasi penyamaran, di kedai Newfroggy Store, No. 2, Jalan Perai Jaya 2, Bandar Perai Jaya, Perai kira-kira 11 pagi 9 Mac 2020.

Kedua-dua pertuduhan itu dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan-peraturan sama iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari MCMC Fazril Sani Mohamad Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam Low She Warne.

Tertuduh membayar wang denda itu hari ini di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here