PORT DICKSON, 1 Mei — Meskipun telah bersara hampir 18 tahun sebagai anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), namun Johari Harun masih cekal menabur bakti menjaga kelestarian alam sekitar dengan menjadi pemandu jentera pembersih pantai di sini.

Minat mendalam terhadap kendalian jentera, Johari, 59, mahir mengendalikan Beach Comber iaitu jentera moden pertama di Malaysia yang dimiliki SWM Environment Sdn Bhd (SWM) syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Mula bertukar kerjaya ke dalam industri 3D (kotorbahaya dan sukar) pada 2004 Johari menyifatkan petugas pembersihan juga perlu berdisiplin serta komited dalam menjalankan tugas harian bagi memastikan keselesaan masyarakat terhadap alam sekitar.

“Jentera Beach Comber ini berupaya membersihkan sisa dan sampah sarap sehingga 2.8 hektar (tujuh ekar) keluasan pantai dalam masa sejam.

“Sebelum ini saya merupakan pemandu jentera jengkaut (JCB) di SWM Environment. Kemudian pada 2013 saya telah diminta untuk mengendalikan Beach Comber bersama seorang lagi rakan sekerja,” katanya kepada Bernama.

Johari menyifatkan pada awalnya kerjayanya itu adalah mencabar, namun tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk menggalas tanggungjawab melaksanakan pekerjaan yang mulia.

Setiap hari beliau akan memulakan rutin membersihkan pantai pada awal pagi bagi mengelakkan gangguan kepada pengunjung.

“Berbeza pula ketika hujung minggu, terdapat ramai pengunjung berkhemah atau masih tidur di pantai, saya akan memulakan  tugas di bahagian pantai kurang pengujung bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya yang memiliki lesen H, iaitu kemampuan mengendalikan jentera berat sehingga 5,000 kilogram.

Mengimbau penglibatannya sebagai petugas pembersih pantai, Johari berkata sebagai kerjaya itu telah banyak mengubah nasib hidupnya namun pada 2005 beliau diuji dengan keadaan kesihatan isteri yang disahkan menghidap kanser darah.

“Ketika itu saya terpaksa bergelut dengan masa, terpaksa berulang-alik ke Hospital Ampang selepas waktu kerja. Saya hampir menyerah namun bersyukur pihak pengurusan dan penyelia syarikat banyak membantu dan memahami keadaan saya,” katanya menambah isterinya kini telah sembuh daripada kanser.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata hasil titik peluh sebagai petugas kebersihan itu juga dia dan isteri dapat membesarkan anak-anaknya dengan memberikan pendidikan terbaik sehingga ada dalam mereka menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta.

Johari berkata sejak awal berkecimpung sebagai petugas kebersihan, ahli keluarga terutamanya isteri dan anak-anak menyokong sepenuhnya kerana kerja pembersihan satu tugasan yang mulia dan dituntut dalam agama.

Beliau juga menyeru generasi muda hari ini agar tidak mengambil mudah kerjaya 3D kerana peluang pekerjaan terbuka luas pada mereka yang benar-benar ada kemahuan untuk berjaya.

“Walaupun tidak berpendidikan tinggi, kita masih mampu mengubah nasib hidup jika mempunyai sikap yang amanah, gigih berusaha dan berdisiplin ketika menjalankan tugas yang diberikan,” katanya yang telah menerima latihan secara formal melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia (SWCorp Malaysia) selama lapan bulan, tahun lepas.

Sementara itu Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata berdasarkan data audit pembersihan pantai badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Greenpeace, sejumlah 2,334 puntung rokok, 328 plastik, 133 penyedut minuman, 117 penutup botol plastik minuman dikumpulkan oleh sukarelawan sempena World Clean Up Day pada 2019.

SWM Environment terus bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam aspek penguatkuasaan dan aktiviti promosi kesedaran awam demi menjaga kelestarian alam sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here