PUTRAJAYA, 18 Mei — Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar akan mengadakan lawatan kerja ke Uzbekistan dari 19 hingga 21 Mei dan Kazakhstan dari 22 hingga 25 Mei.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata di Uzbekistan, Kamarudin dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Pemangku Menteri Luar Negeri dan Yang Dipertua Dewan Perundangan.

Di Kazakhstan, beliau juga dijadual bertemu Timbalan Perdana Menteri (Menteri Perdagangan dan Integrasi) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Pertahanan.

Lawatan itu akan memberi tumpuan kepada memperkukuh lagi kerjasama sedia ada yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta meneroka kerjasama strategik baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, bantuan kerjasama teknikal dan kerjasama kesihatan.

“Ia juga akan memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” menurut kenyataan itu.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan kedua-dua negara.

Menurut Wisma Putra, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021, Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM359.79 juta manakala Uzbekistan merupakan rakan dagang kedua terbesar dengan jumlah dagangan RM187.82 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here