KUALA LUMPUR, 18 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menitiberatkan aspek pencegahan seiring dengan penguatkuasaan bagi menangani gejala rasuah sekali gus dapat meningkatkan imej negara melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Seri Azman Ujang berkata beliau menyifatkan gejala rasuah sebagai wabak yang perlu dicegah dan bukan diubati selain menekankan usaha ke arah itu masih rendah. 

“Institusi seperti SPRM ini kita dapati elemen pencegahan itu ada tapi usaha pencegahan itu masih jauh daripada berkesan, perlu ada satu pemerkasaan dalam aspek itu kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan terkini CPI negara di tangga ke-62 berbanding ke-57 pada 2020.

Berkongsi sentimen sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata ‘taring’ institusi integriti yang ada dalam negara perlu ditajamkan untuk menyelesaikan permasalahan rasuah terutama kes membabitkan pemimpin politik. 

Beliau berkata perkara itu penting untuk memperbaiki kedudukan CPI Malaysia kerana melibatkan imej negara selain menjelaskan tindakan seperti lafaz Ikrar Bebas rasuah (IBR) hanyalah sebagai satu retorik ‘kosmetik’ dan tidak lagi relevan bagi menangani isu integriti. 

“Kita kena bertindak segera dan tidak boleh lagi hanya duduk bermesyuarat dan menunggu laporan di peringkat bawahan, persepsi ataupun respons yang akhirnya akan melambatkan proses untuk menangani rasuah.

“Kita juga perlu berikan satu ruang pendakwaan dan penguatkuasaan seluas-luasnya kepada institusi integriti yang ada supaya mereka dapat membuat kerja dan menguatkuasakan undang-undang dengan penuh berdedikasi demi untuk negara,” katanya.

Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata beliau melihat isu rasuah sebagai satu wacana yang tiada kesudahan walaupun telah banyak pendedahan dilakukan kerana gejala itu seolah-olah sudah diterima sebagai satu budaya dalam kalangan masyarakat. 

Beliau berkata masyarakat perlu mengambil berat kerana jika dibiarkan akan memberi impak negatif kepada persekitaran domestik dan antarabangsa. 

“Hal ini kerana negara lain akan menganggap Malaysia sebagai amat negatif jika mereka berhasrat untuk melabur di Malaysia, mereka akan berasa amat bimbang melihat keadaan negara jika ia diselubungi gejala rasuah… 

“Secara domestik, ia akan jadi satu isu dan kita akan hilang semangat bersaing dalam perniagaan,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata sektor perkhidmatan awam dan swasta dalam negara perlu meneruskan tekad membanteras gejala rasuah susulan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang kurang memuaskan.  

“Meskipun ia sekadar persepsi namun realiti ini adalah isyarat penting kepada kita semua untuk meneruskan tekad membanteras gejala rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun swasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here