IPOH, 25 Mei — Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan di Bidor, kira-kira 70 kilometer dari sini, dilanda banjir kilat petang ini.

Seorang penduduk Noorhidayah Halim, 31, berkata kawasan Kampung Pasir Jalan Bruseh yang didiaminya, mula dinaiki air sehingga paras dada pada kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana paras air terlalu tinggi dan hanya reda melihat barangan perabot dan elektrik ditenggelami air.

“Setakat ini kami masih menunggu bantuan kerana tidak dapat keluar dari kawasan perumahan ini berikutan kenderaan kami turut terkena air banjir… hanya bot yang boleh digunakan untuk kami bergerak ke tempat selamat kerana air amat deras,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya beberapa kawasan perumahan termasuk Taman Batang Padang telah dinaiki air susulan air Sungai Bidor melimpah akibat hujan lebat bermula kira-kira pukul 2 petang.

Pengguna media sosial turut berkongsi beberapa gambar dan video keadaan banjir di Taman Maju Jaya, Taman Batang Padang, Kampung Poh dan pekan Bidor yang turut dinaiki air melibatkan kawasan masjid serta sekolah, dan rata-rata pengguna Facebook dilihat memberikan komen dengan mendoakan keselamatan mangsa terlibat.

Seorang lagi penduduk Marhaini Haris Fadzilah, 41, berkata banjir di kawasan Kampung Poh mula surut pada kira-kira pukul 6.30 petang namun kebanyakan rumah telah terjejas teruk dengan lumpur akibat dinaiki air banjir yang melanda secara mengejut.

“Penduduk sedang sibuk membersihkan rumah masing-masing manakala pasukan bomba dan polis juga sedang memantau keselamatan kawasan banjir,” katanya yang tinggal di kampung itu bersama suami dan dua anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here