KUALA TERENGGANU, 29 Mei — Orang ramai dipelawa untuk ke kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan sepanjang penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM)  di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, pada 2 hingga 4 Jun ini.

Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan antara kaunter kementerian akan dibuka termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),  Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM).

Menurut kenyataan itu, karnival kerjaya ‘Jamin Kerja Keluarga Malaysia’ diadakan bagi membolehkan para pencari kerja ‘mengintai’ pelbagai peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk mereka.

Turut dianjurkan ialah program Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sukan rakyat (dam aji, congkak, bowling nyior, karom, batu selambuk, gasing bawang dan titing bulu ayam), e-sukan (Mobile Legend dan FIFA) dan persembahan kebudayaan negeri. 

Pelbagai program menarik akan diadakan di Pentas Mini Citarasa Keluarga Malaysia antaranya Demontrasi Pembuatan Pastri, Demonstrasi Kuih Tradisional Terengganu, Strategi PdP dalam Kelas, Demonstrasi Sains Udara, Program ECER Latihan dan Keusahawanan. 

Menurut kenyataan itu, pelbagai aktiviti luar turut diadakan antaranya Kids Supa Doopa, pelancaran E-Beca di Pasar Payang, program Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan program Outreach Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sekitar Kuala Nerus serta Kuala Terengganu. 

Pada sebelah malam 2 Jun, akan diadakan program Malam Zikir Berkah Terengganu Berselawat.

Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep AKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan ‘keterangkuman’, ‘kebersamaan’ dan ‘kesyukuran’.

Pada penganjuran kali ini, KPM dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama ‘Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here