KUALA TERENGGANU, 1 Jun — Lebih 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada orang ramai yang hadir ke Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus, bermula esok hingga Sabtu ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Terengganu Farihah Che Husin berkata sebanyak 90 syarikat dan majikan dari seluruh negara dalam pelbagai bidang antaranya perbankan, perindustrian, perladangan, teknikal dan pembuatan menyertai karnival tersebut.

“Penganjuran karnival selama tiga hari sempena program Jelajah AKM ini diharap memberi manfaat kepada individu yang ingin mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan atau kemahiran dimiliki.

“Calon yang berminat dikehendaki mendaftar menggunakan pautan pendaftaran http://myfuturejobs.gov.my/careerfair untuk mengisi maklumat peribadi mereka dengan tepat, mudah dan lancar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, calon yang berminat hadir juga diminta untuk berpakaian kemas dan membawa dokumen berkaitan bagi sesi temu duga di karnival itu.

Farihah berkata lebih menarik turut diadakan sesi Pemadanan Kerjaya Bersasar TVET (pendidikan teknikal dan latihan vokasional) dalam sektor tenaga yang menyediakan pekerjaan kepada pelajar-pelajar tahun akhir di pusat latihan di Terengganu. 

Menurutnya, dengan kerjasama pusat-pusat latihan terbabit, pelajar telah dipadankan dengan pekerjaan mengikut kelulusan masing-masing serta menjalani temu duga di khemah Jamin Kerja dan mereka akan terus diserap setelah tamat pengajian pada Mei, Jun dan Julai nanti. 

“Kita juga menyediakan kaunter informasi di kios Kementerian Sumber Manusia, yang akan beri penerangan kepada pengunjung mengenai faedah atau keistimewaan bakal dinikmati oleh pencarum contohnya Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dan sebagainya.

“Kita mahu rakyat Terengganu tahu keistimewaan disediakan kerajaan kepada mereka kerana Perkeso sentiasa melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka sepanjang masa,” katanya.

Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep JAKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here