BESTARI JAYA, 2 Jun — Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan melancar lima jenis benih tanaman di Selangor Fruits Valley (SFV), di sini.

Tengku Permaisuri Norashikin tiba pada 9.50 pagi tadi pada Majlis Pelancaran Benih Tanaman Selangor itu yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim.

Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan memberi nama lima jenis biji benih tanaman iaitu dua daripadanya adalah tembikai susu (melon) varian v8 iaitu Selangor Sweet Melon (SSM) dan v12 yang dinamakan Melon Selangor (MeloSel). 

Tiga lagi biji benih tanaman iaitu dua benih jagung varian 6005 diberi nama Jagung Manis Selangor dan jagung bijirin varian 58 iaitu GrainSel serta buah betik varian ‘A’ yang dinamakan Selangor Tropical Papaya.

Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan untuk melawat dan melihat tanaman yang telah dipilih nama oleh baginda sebelum ke meja santapan dan berangkat pulang sekitar 11.30 pagi.  

Sementara itu, Izham berkata kesemua benih tanaman tersebut hasil kerjasama Green World Genetics (GWG) Sdn Bhd yang merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang menjalankan kajian pembangunan benih tanaman dalam negara.

Katanya, benih-benih melibatkan dua jenis jagung itu akan ditanam dalam masa terdekat di tanah seluas 121 hektar di Bukit Changgang, Kuala Langat dan betik di atas tanah seluas 6.7 hektar di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam yang akan dijadikan sebagai bank benih sama ada untuk ditanam semula atau dijual.

Izham berkata dua benih tembikai susu pula akan ditanam di beberapa kawasan di sekitar negeri itu antaranya di 12 rumah hijau sama ada menggunakan kaedah hidroponik atau di atas tanah di SFV yang juga disasarkan untuk dijual dan dijadikan benih.

“Di Sungai Air Tawar dan Bukit Changgang ini, kita guna untuk tujuan pembenihan. Jadi, kita perlu tanam dalam jumlah yang banyak.

“Pengenalan benih ini juga adalah usaha Selangor dalam menerajui bidang pembakaan dan pembenihan. Kerana, benih yang baik ini menjamin 50 ke 60 peratus kejayaan dalam sektor pertanian,” katanya.

Mengulas berhubung status ayam di Selangor, kerajaan negeri bersetuju untuk meningkatkan bekalan ayam daripada 10,000 kepada 14,000 ekor ayam sehari bagi menampung permintaan ayam di pasaran negeri itu bermula esok.

Izham berkata langkah tersebut khususnya akan difokuskan di kawasan yang mengalami kekurangan bekalan ayam antaranya di Petaling Jaya dan akan dilakukan menerusi cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here