KUALA LUMPUR, 3 Jun — Harga eksport Malaysia pada April 2022 kekal kukuh dengan peningkatan 1.1 peratus kepada 143.0 mata daripada 141.5 mata pada Mac 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sementara itu, indeks nilai seunit import juga mencatatkan peningkatan 2.4 peratus kepada 129.0 mata, melebihi indeks nilai seunit eksport, menyebabkan 1.4 peratus penurunan dalam terma perdagangan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 1.1 peratus pada April 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+7.6 peratus); alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.5 peratus), dan bahan kimia (+1.2 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport menurun 4.1 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-11.8 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-10.7 peratus) dan minyak galian (-5.5 peratus),” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri Malaysia, April 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata indeks volum eksport pelarasan bermusim susut 4.7 peratus kepada 162.1 mata daripada 170.1 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 18.4 peratus dan 2.0 peratus, katanya.

DOSM juga melaporkan prestasi indeks nilai seunit import meningkat 2.4 peratus pada April 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+11.4 peratus); minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+5.9 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+1.1 peratus).

Bagaimanapun, indeks volum import merekodkan penurunan 3.3 peratus pada April 2022 daripada angka pada bulan sebelumnya, berikutan penurunan indeks minyak galian (-14.2 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-10.0 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-1.8 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada April 2022 turut menyusut 7.0 peratus daripada 189.9 mata kepada 176.7 mata, jelasnya.

Menurut jabatan itu, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 10.7 peratus dan 10.2 peratus.

Terma perdagangan Malaysia turun 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 110.9 mata pada April 2022, didorong oleh kejatuhan indeks minyak galian (-12.1 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.4 peratus), tambah DOSM.

Ia menjelaskan perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 6.9 peratus daripada 103.7 mata pada April tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here