KUALA LUMPUR, 7 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat anakanda Seri Paduka berdua, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, di Istana Negara, hari ini.

Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, pemakaian pangkat Tengku Amir Nasser sebagai Kolonel yang berkuat kuasa 7 April lalu disempurnakan sendiri Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah.

Tengku Amir Nasser sebelum ini merupakan Leftenan Kolonel dan kini menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Asistan Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah turut berkenan menyempurnakan Majlis Mengangkat Sumpah anakanda Seri Paduka berdua, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tengku Ahmad Ismail dijadual menghadiri kursus pentauliahan di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst di United Kingdom bermula 22 Ogos ini hingga 18 Ogos  tahun depan. 

Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst adalah pusat latihan tentera tersohor dunia.

Yang di-Pertuan Agong pernah menjalani latihan ketenteraan di akademi tersebut dari 1978 hingga 1979 sebelum Tengku Hassanal mengikut jejak dari 2018 hingga 2019.

Turut pernah menjalani latihan ketenteraan di akademi itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here