KUALA LUMPUR, 8 Jun — Bersempena Hari Lautan Sedunia 2022, Aquaria KLCC menganjurkan ‘Aquaria Zero Pollution’ untuk menggalakkan pencemaran sifar sebagai satu keperluan bagi menyelamatkan lautan dan juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan mampan lautan dunia.

Acara sehari itu disertai 30 kanak-kanak dari Q-dees Sri Hartamas yang berpeluang menyaksikan pertunjukan ikan duyung bertajuk ‘Danger to the Beauty’ yang menceritakan kesan negatif sisa plastik di lautan terhadap kehidupan marin.

Pengarah Eksekutif Aquaria KLCC Daryl Foong berkata misi mereka melalui penganjuran acara itu adalah untuk mendidik, memberi inspirasi dan memupuk kasih sayang dan empati dalam kalangan kanak-kanak terhadap lautan.

Katanya kanak-kanak adalah generasi masa depan yang mempunyai keupayaan untuk menemui penyelesaian kekal, seperti bahan atau kaedah baharu untuk menggantikan plastik dengan berkesan sebagai utiliti sedia ada.

“Kanak-kanak adalah golongan paling mudah untuk dididik tentang alam sekitar. Bagi orang dewasa pula, tanggungjawab kita adalah untuk berfikir untuk kanak-kanak serta generasi akan datang, bangkit dan cuba membuat perubahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Daryl menambah bahawa perubahan kecil akan membawa kesan yang besar jika dilakukan oleh setiap individu, seperti tidak membeli atau memilih untuk menggunakan beg plastik, penyedut minuman dan sebaliknya minum daripada cawan, misalnya.

“Kita mesti mengambil tindakan memulihara dan memelihara lautan untuk menjamin persekitaran yang selamat, mampan dan sihat untuk generasi akan datang,” katanya.

Hari Lautan Sedunia 2022 disambut setiap 8 Jun untuk menghargai lautan di seluruh dunia dengan tema ‘Revitalizing: Collective Action for the Ocean’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here