SEREMBAN, 14 Jun — Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Negeri Sembilan merampas 17 produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), tujuh produk psikotropik berdaftar dan lima peranti digital berjumlah RM64,273 di sebuah klinik swasta di sini, Khamis lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata serbuan hasil maklumat orang awam itu melibatkan 15 anggota termasuk Pegawai CPF negeri dan Kuala Lumpur serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati produk tersebut dibawa masuk dari negara luar menggunakan laluan yang tidak sah dan dibekalkan kepada penagih dadah sekitar Negeri Sembilan.

“Sumber produk ini tidak diketahui dan penggunaan produk tersebut tidak diyakini keselamatannya serta boleh membahayakan kesihatan orang awam. Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952, Seksyen 32 (2) dan Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952.

“Premis berdaftar dan berlesen dengan Kementerian Kesihatan (KKM) wajib membekalkan keluaran yang berdaftar dengan PBKD kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Harlina berkata CPF Negeri Sembilan merampas 66,814 keluaran yang menyalahi akta bernilai RM440,794 sepanjang tahun lepas manakala sejak Januari hingga Mei tahun ini, pihaknya merampas 6,848 keluaran menyalahi akta berjumlah RM93,218.

Justeru katanya KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati membeli sebarang produk kesihatan selain memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here