GENEVA, 13 Julai — Lonjakan terbaru kes jangkitan COVID-19 menunjukkan wabak itu masih belum berakhir, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, sambil memberi amaran virus itu masih bebas menular.

Tedros juga bimbang dengan jumlah kes yang meningkat, sekali gus memberi lebih tekanan kepada sistem dan perkhidmatan kesihatan.

Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan kepada WHO meningkat 30 peratus dalam tempoh dua minggu lalu, didorong subvarian strain Omicron BA.4 dan BA.5 dan tindakan menarik langkah kawalan.

“Gelombang baharu virus ini menunjukkan sekali lagi yang pandemik COVID-19 masih belum ada tanda untuk berakhir. Apabila virus menghimpit kita, kita mesti menolaknya kembali,” katanya pada sidang media.

Apabila penularan meningkat, Tedros berkata, kerajaan juga mesti menggunakan langkah yang sudah diuji seperti pemakaian pelitup muka dan menambah baik pengudaraan.

“Subvarian Omicron seperti BA.4 dan BA.5 terus memacu gelombang kes, kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh dunia.

“Apabila tindakan pemantauan berkurangan dengan ketara termasuk ujian saringan dan penjujukan, menjadikannya semakin sukar untuk menilai kesan varian pada jangkitan, ciri penyakit dan keberkesanan langkah pencegahan,” kata Tedros.

Selain itu, beliau berkata, ujian, rawatan dan suntikan vaksin tidak dilaksanakan dengan berkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here