PUTRAJAYA, 13 Julai — Seramai 712,435 pendatang tanpa izin telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sejak ia dilaksanakan pada November 2020 hingga 30 Jun lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 293,907 orang telah mendaftar untuk Program Rekalibrasi Pulang manakala 418,528 mendaftar bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Melalui Program Rekalibrasi Pulang, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 255,111 pendatang tanpa izin telah pulang ke negara asal masing-masing dan membawa penjanaan hasil kepada kerajaan sebanyak RM140,558,600,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan surat keputusan kewarganegaraan kepada 28 penerima di sini hari ini.

Hamzah berkata bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, seramai 335,276 pendatang tanpa izin telah hadir untuk proses verifikasi di Jabatan Imigresen dan 3,900 daripada mereka gagal dalam verifikasi itu antaranya kerana tersenarai dalam senarai syak, senarai hitam serta dilaporkan lari dari majikan.

Beliau berkata sejumlah 114,121 Pas Lawatan Kerja Sementara telah diluluskan oleh Jabatan Imigresen menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Kerajaan telah menjana kutipan wang cagaran sebanyak RM209,262,000 serta mengutip hasil yang direkodkan menerusi fi rekalibrasi, levi, pas, visa dan proses berjumlah RM 331,844,264.50,” katanya.

Pada 16 Nov 2020, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan agensi kerajaan lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.

Program itu adalah bagi meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing sah digajikan majikan layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh sukrelakerajaan.

Program Rekalibrasi Pulang pula merupakan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada pendatang yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Hamzah turut mengingatkan majikan agar tidak menyalahgunakan pekerja asing yang telah mereka daftarkan. 

“Kalau daftar untuk kerja di restoran, mereka tidak boleh berkhidmat untuk sektor lain… jangan salah guna,” katanya.

Hamzah berkata pihaknya juga akan melaksanakan program ‘e-locker’ bagi mengesan keberadaan pekerja asing di negara ini dan gaji mereka.

Mengenai majlis hari ini, Hamzah berkata penerima diberi taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang memperuntuk kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dalam sesuatu hal keadaan khas mendaftarkan seseorang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.

“Pemberian taraf kewarganegaraan ini merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan diharapkan mereka akan menjadi rakyat yang bertanggungjawab demi kemakmuran serta kemajuan negara,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing di dalam atau luar negara agar mendaftarkan perkahwinan mengikut undang-undang negara ini secara sah.

“Jangan ambil mudah supaya tidak timbul masalah di masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here