SHAH ALAM, 17 Julai — Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic di sini, berjalan lancar dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung, malam tadi.

Tinjauan mendapati kawasan kompleks itu mula dipenuhi orang ramai sejak pukul 4 petang dengan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, kehadiran pengunjung festival kali ke-46 itu mencatatkan peningkatan berbanding kali terakhir dilaksanakan pada 2019.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar selepas program itu tertangguh akibat pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu. Jumlah terakhir pengunjung sebelum ini lebih 40,000 orang dan ia meningkat lebih 50,000 iaitu paling ramai setakat ini,” katanya ketika ditemui pada festival itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut hadir meluangkan masa menyaksikan festival kebudayaan Jepun berkenaan, kira-kira pukul 8.15 malam.

Ketibaan beliau disambut Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Pada 9 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ditegur kerana membuat kenyataan tidak tepat berhubung penganjuran festival itu.

Malah, beliau dicadangkan supaya menghadiri sendiri ke festival tersebut untuk memahami perbezaan antara aktiviti agama dan budaya.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu Idris menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut.

Baginda turut tidak mahu pihak tertentu khususnya ahli politik menggunakan isu sensitiviti agama untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti selain tidak wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik mendalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here