KUALA LUMPUR, 18 Julai — Program Jualan Lebih Murah Keluarga Malaysia akan  dilaksanakan mulai bulan hadapan hingga akhir tahun ini dengan tawaran barang keperluan yang dijual dengan harga lebih rendah berbanding Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebelum ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata program jualan yang akan melibatkan lima kementerian itu juga diperluaskan ke 613 kawasan seluruh negara berbanding 222 kawasan sebelum ini.

“Manakala kekerapannya, jika sebelum ini ia dijalankan dua kali sebulan tetapi kali ini ia akan dilaksanakan sebanyak empat kali sebulan melibatkan 2,400 premis terpilih,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata empat lagi kementerian akan menyertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi pelaksanaan program ini iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya program ini akan menumpukan penjualan produk utama seperti telur, ayam dan minyak masak dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Sementara itu, Annuar berkata bagi program kali ini, kerjasama diperluaskan dengan lebih banyak kedai-kedai atau premis lebih kecil termasuk kedai koperasi dan difokuskan kepada produk keperluan rakyat.

Selain itu katanya, ia akan melibatkan penyertaan pemimpin tempatan termasuk wakil rakyat yang akan membantu memilih lokasi dan publisiti program.

“KIta jangka dalam masa lima bulan pelaksanaan ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta dan menjadi harapan pasukan khas ini, agar lebih banyak premis dan peniaga bersedia bersama menyediakan harga barangan lebih murah untuk rakyat,”katanya.

Memperincikan mengenai hasil PJKM Fasa 1, Annuar berkata hasil laporan daripada KDNHEP, lebih 2,000 program telah dilaksanakan melibatkan perbelanjaan RM12 juta.

“Tekanan harga barang realiti yang kita sedang tangani, jadi kita fikirkan bagaimana program jualan ini dapat diperkenalkan dengan lebih meluas dan berkesan lagi,” katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada KPDNHEP atas komitmen melaksanakan program jualan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here