KUALA LUMPUR, 21 Julai — Firma-firma penyelidikan mengunjurkan imbangan perdagangan yang lebih lemah untuk Malaysia bagi tahun 2022 berikutan peningkatan import berbanding eksport.

Menurut Kenanga Research dalam nota penyelidikannya hari ini, pihaknya menjangkakan lebihan dagangan akan mengecil sedikit di tengah-tengah peningkatan import didorong oleh aktiviti penggunaan dan pelaburan yang kukuh.

“Selain itu, pertumbuhan kita masih terdedah kepada risiko penurunan, dan kami mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk suku kedua 2022 pada 7.7 peratus (suku pertama 2022: 5.0  peratus), menyokong keseluruhan unjuran pertumbuhan KDNK tahun 2022 pada 5.0 peratus hingga 5.5 peratus (2021: 3.1 peratus),” tambahnya.

Eksport Malaysia berkembang sebanyak 30.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 (suku pertama 2021: 22.0 peratus), dengan pengembangan setakat tahun ini sebanyak 26.1 peratus sepanjang enam bulan lepas, terutamanya disumbang oleh kepelbagaian eksport Malaysia yang diterajui oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan harga komoditi yang mengukuh.

Lebihan dagangan berjumlah RM21.9 bilion pada Jun 2022 (Mei: RM12.7 bilion), apabila eksport pulih dengan ketara bulan ke bulan pada 21.3 peratus jauh melepasi import pada 15.2 peratus.

“Kami juga percaya lonjakan dalam prestasi perdagangan turut dipacu oleh nilai ringgit yang lemah dan sebahagiannya oleh peningkatan dalam rantaian bekalan global apabila China secara beransur-ansur membuka semula aktiviti ekonomi mereka.

Sementara itu, CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran lebihan akaun semasanya untuk 2022 pada 1.7 peratus daripada KDNK.

Ia menambah pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April 2022 serta ketibaan pelancong asing  boleh mengimbangi imbangan perdagangan yang lemah memandangkan terdapat lebih banyak aliran masuk ke dalam akaun perkhidmatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here