TANJONG KARANG, 22 Julai — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini sedang berusaha mengimport bekalan ayam sejuk beku bagi memastikan barangan keperluan itu sentiasa mencukupi di negara ini.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya melalui kedai koperasi atau Coopmart sedang membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara yang dijangka mula dilaksanakan pada September depan dengan harga yang lebih murah. 

“Kita sedang dalam proses untuk membawa ayam luar (import) untuk membantu menyelesaikan isu kenaikan harga ayam di pasaran.

“Kementerian saya sudah mengenal pasti beberapa negara untuk pembekalan ayam beku import…dari segi pembungkusan ayam, kita akan menggunakan logo dan pengedaran juga akan diuruskan Coopmart,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang di sini hari ini.

Katanya selain ayam sejuk beku, barangan asas lain yang telah dikenal pasti untuk dijual di Coopmart dengan harga lebih lebih murah dari pasaran ialah gula, minyak masak, tepung dan beras.

Noh berkata langkah yang diambil kementerian itu diharap dapat membantu kerajaan menampung keperluan pengguna selain negara tidak lagi berdepan dengan masalah kekurangan bekalan ayam.

Katanya kesemua ayam sejuk beku itu akan dipasarkan di semua cawangan Coopmart di bawah kementeriannya di seluruh negara.

Selain itu Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata bagi memperkasakan gerakan koperasi,  kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menubuhkan enam federasi koperasi yang merupakan gabungan semua koperasi mengikut sektor ekonomi masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here