KUALA LUMPUR, 22 Julai — Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) menyatakan sokongan terhadap cadangan Generational End-Game (GEG) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dijadualkan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

MEVTA turut menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam isu kawal selia industri rokok elektronik (vape) di negara ini.

“Kami sangat berharap agar semua Ahli Parlimen untuk mengetepikan perbezaan ideologi politik dan bersatu menyokong RUU ini di Dewan Rakyat nanti,” menurut kenyataan persatuan itu di Facebook, hari ini.

Menjelaskan laporan akhbar semalam yang memetik MEVTA memohon Kabinet mengkaji semula larangan penjualan dan pemilikan vape kepada individu yang lahir dari tahun 2005, persatuan itu menjelaskan kenyataan itu dibuat sebelum sesi libat urus dengan KKM yang berlangsung semalam.

Menurut MEVTA, persetujuan terhadap sokongan itu dinyatakan selepas mendapat penerangan yang jelas daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Sektor Kawalan Tembakau dan FCTC (Framework Convention on Tobacco Control) KKM berhubung cadangan GEG.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata cadangan pelaksanaan peruntukan GEG dalam RUU itu adalah untuk melindungi generasi muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok dan menjadi mangsa ketagihan produk merokok apabila mereka dewasa, serta mengurangkan peratus perokok di Malaysia iaitu kurang daripada lima peratus menjelang 2040.          

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here