PUTRAJAYA, 25 Julai — Berikutan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan monkeypox kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa monkeypox serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak sembilan kes disyaki monkeypox telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

Beliau berkata pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan monkeypox akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

“Pengembara yang tiba dari negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

Gejala monkeypox adalah seperti demam, keletihan, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 23 Julai lepas, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes monkeypox dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada kesemua pengembara, katanya.

“KKM menyeru individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

Khairy berkata pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa dan urutan diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala monkeypox dan tiada ruam makulopapular (ruam kulit).

Virus monkeypox boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

Khairy berkata KKM telah meningkatkan kapasiti makmal dalam negara daripada dua kepada 12 makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus monkeypox, iaitu lapan adalah makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit selain meningkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara, katanya.

Pada 23 Julai, WHO telah mengisytiharkan wabak monkeypox sebagai PHEIC berdasarkan beberapa faktor antaranya peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara bukan endemik monkeypox, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan tersebut.

Pada 17 Jun lepas, sebanyak 2,103 kes monkeypox dilaporkan berlaku di 42 negara dengan satu kematian.

Kes monkeypox pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here