KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 billion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Muhyiddin buat masa ini hanya 20 peratus subsidi yang disediakan kerajaan digunakan oleh golongan B40, manakala selebihnya dinikmati oleh golongan yang tidak sepatutnya.

“Hampir 50 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang dalam kategori yang berada, orang kaya, kenderaan besar dan macam-macam lagi.

“Jadi saya fikir asas untuk kerajaan membuat keputusan (skim subsidi bersasar) adalah sangat kukuh, supaya lebih peratusan dapat sampai kepada golongan sasar (B40),” katanya selepas Majlis Perjumpaan MPN Bersama Nelayan Terengganu di Pelabuhan  LKIM Cendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bantuan nelayan berjumlah RM20 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU).

Ia termasuk bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan sebanyak RM14.2 juta; elaun sara hidup (RM4.2 juta) dan dana khas PENENTU (RM1.6 juta).

Tambah Muhyiddin, hasil penjimatan tersebut boleh disalurkan semula kepada golongan B40 seperti petani dan nelayan, yang sangat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bagaimanapun, cara pelaksanaan atau mekanisme agihan perlu diperhalusi dengan teliti oleh kerajaan, bagi memastikan ia benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan sasar.

“Cadangan ini kita sedang bincang di peringkat MPN dan akan bawa ke kabinet pada masa yang sesuai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here