HONG KONG, 8 Ogos — Hong Kong memendekkan tempoh kuarantin di hotel bagi mereka yang tiba di hab kewangan Asia itu kepada tiga hari, berbanding tujuh hari sebelum ini.

Pemimpin Hong Kong, John Lee, berkata, langkah yang menjadi sebahagian usdaha untuk meringankan peraturan berkaitan pandemik COVID-19 itu akan berkuat kuasa Jumaat ini.

Mereka yang tiba di bandar raya itu perlu melakukan pemantauan kendiri selama empat hari, tempoh di mana mereka tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis seperti restoran dan bar.

“Kami perlu mengimbangi antara kehidupan rakyat dan daya saing di Hong Kong bagi memberi momentum maksimum kepada komuniti dan ekonomi,” katanya.

Individu yang menjalani kuarantin akan diberikan kod merah pada aplikasi mandatori kerajaan. 

Kod itu akan berubah kepada kuning sebaik mereka selesai menjalani kuarantin, namun masih tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis yang sesak.

Daya saing Hong Kong terkesan berikutan langkah diambil susulan penularan pandemik COVID-19, yang mana komuniti perniagaan berharap Lee yang dilantik sebagai pemimpin sejak 1 Julai lalu, dapat menghapuskan peraturan berkaitan kuarantin.

Berikutan pandemik COVID-19, sempadan bandar raya itu ditutup hampir sepenuhnya sejak 2020 dengan ketibaan antarabangsa berdepan protokol ujian dan perintah kuarantin yang tegas. 

Lee pula sebelum ini menyataka ikrarnya untuk menghubungkan semula Hong Kong dengan tanah besar dan seluruh dunia.

Malah, beliau menggantung peraturan yang menyekat penerbangan persendirian jika membawa penumpang dijangkiti dengan COVID-19, dengan menyatakan bahawa ia menyebabkan masalah dan kesulitan kepada penduduk.

Sementara itu, saham syarikat penerbangan utama, Cathay Pacific Airways melonjak sebanyak 3.5 peratus selepas pengumuman kepada HK$8.77, peningkatan tertinggi sejak 28 Jun lalu.

Syarikat itu berkata, perubahan itu adalah langkah positif dalam membantu memudahkan pelancongan ke Hong Kong.

“Kami meminta kerajaan menyediakan pelan lebih jelas, memaparkan pemansuhan sepenuhnya semua sekatan berkaitan COVID-19 untuk anak kapal serta penumpang secepat mungkin bagi melindungi status Hong Kong sebagai hab penerbangan antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, tempoh kuarantin ditetapkan selama tiga minggu. Ketika ini, semua ketibaan perlu menjalani kuarantin sekurang-kurangnya selama seminggu di hotel dan mematuhi arahan ujian pengesanan, menyediakan sampel najis bagi bayi selain perlu mengisi pelbagai borang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here