COLOMBO, 14 Ogos — Sri Lanka semalam bersetuju agar kapal tinjauan China, Yuan Wang 5, berlabuh di pelabuhan Hambantota yang dikendalikan China pada 16 Ogos ini, walaupun kebimbangan keselamatan dibangkitkan India dan Amerika Syarikat (AS). 

Penganalisis keselamatan asing menyifatkan Yuan Wang 5 sebagai antara kapal penjejak generasi terbaru China, bagi memantau satelit, roket dan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua. 

China dan India cuba mengembangkan pengaruh di Sri Lanka yang berdepan krisis ekonomi terburuk dalam sejarah pasca kemerdekaannya. 

India tahun ini memberikan lebih banyak bantuan kepada Sri Lanka, berbanding negara lain dan bimbang pesaingnya, China akan menggunakan pelabuhan Hambantota berhampiran laluan perkapalan utama Asia-Eropah sebagai pangkalan tentera. 

Sri Lanka secara rasmi menyerahkan aktiviti komersial di pelabuhan berkenaan menerusi pajakan selama 99 tahun kepada sebuah syarikat China pada 2017, selepas bergelut untuk membayar balik hutangnya. 

Pentagon berkata, kapal Yuan Wang 5 itu dikendalikan Pasukan Sokongan Strategik Tentera Pembebasan Rakyat, manakala India kelmarin menafikan dakwaan memberi tekanan kepada Sri Lanka untuk tidak menerima kapal itu. 

“Kami menafikan sepenuhnya ‘sindiran’ dan kenyataan sedemikian mengenai India. Sri Lanka adalah negara berdaulat dan bebas membuat keputusan sendiri,” kata jurucakap Kementerian Luar, Arindam Bagchi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here