BEIJING, 15 Ogos — Kepelbagaian budaya Malaysia yang unik, identiti negara bersejarah dan prospek perniagaan masa depan antara Malaysia dan China adalah antara program yang ditampilkan menerusi Festival ‘Malaysia Truly Asia’ (MTAF) 2022, bermula hari ini hingga 31 Ogos ini.

Duta Besar Malaysia di China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata, festival dua minggu itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang identiti Malaysia dalam kalangan masyarakat Cina dan diadakan sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-65.

Beliau berkata beberapa siri acara termasuk Forum Kesihatan dan Nutrisi Minyak Sawit Ke-17, Minggu Makanan ‘Malaysia Truly Asia’ dan Pameran Karya Seni Peranakan akan berlangsung sepanjang MTAF 2022.

Dalam pada itu, katanya, resepsi Hari Kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos bagi menandakan berakhirnya acara siri MTAF 2022.

“Sejak 1 April 2022, sempadan Malaysia telah dibuka sepenuhnya, membolehkan pelawat dari seluruh dunia berkunjung ke Malaysiat. MTAF 2022 diharap dapat merealisasikan objektifnya untuk meletakkan nama Malaysia kukuh dalam minda masyarakat Cina,” katanya pada majlis pelancaran itu, di sini, hari ini. 

Festival tersebut dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Beijing dan disokong oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MAYCHAM), sebuah badan bukan berkeuntungan berorientasikan sosial dengan tujuan mempromosikan perdagangan dan pertukaran antara dua negara.

Beliau berkata sebagai negara pertama di ASEAN menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, Malaysia telah menikmati hubungan dua hala yang membuahkan hasil dalam aspek politik, ekonomi dan rakyat dengan rakyat.

Ia menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan utama dari segi pelancongan, pendidikan dan perniagaan untuk masyarakat Cina, katanya.

Beliau berkata jenama ‘Malaysia Truly Asia Festival 2022’ dipilih untuk menentukan intipati kepelbagaian budaya Malaysia yang unik, yang terdiri daripada warna, rasa, bunyi dan pemandangan Malaysia yang tersendiri.

“ ’Malaysia – Truly Asia’ telah berkembang daripada menjadi slogan, jenama, kepada falsafah dan kedudukan Malaysia sebagai wadah tumpuan dan kepelbagaian adalah hasil daripada lokasi geografi, sejarah serta pandangan rakyatnya.

“Ini dapat dilihat dalam budaya, masakan dan warisan kita yang semuanya terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia yang dipromosikan oleh kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here