NANNING, 17 Ogos — Suruhanjaya Timbang Tara Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa China (CIETAC) menubuhkan pusat perbicaraan ASEAN di Nanning, ibu kota wilayah Guangxi, pada Selasa.

Penubuhan pusat itu bertujuan mempermudah usaha penimbangtaraan, di samping menggalakkan syarikat serantau menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara.

Ini juga sebagai inisiatif bagi memberi jaminan undang-undang kepada perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.

Seiring dengan penguatkuasaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), usaha menyelesaikan pertikaian perniagaan dengan baik mengikut undang-undang serta menjaga kepentingan sah entiti pasaran secara adil menjadi agenda utama yang dihadapi negara anggota.

Penyelesaian pertikaian menerusi timbang tara ialah kaedah yang menjimatkan kos dan lebih cekap, berbanding mengemukakan tuntutan mahkamah.

Menurut Presiden Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) cawangan Guangxi, Wei Ran, penubuhan pusat perbicaraan itu akan membantu Guangxi membina pusat penimbangtaraan serantau untuk anggota RCEP, khususnya ASEAN.

Beliau berkata penubuhan pusat itu juga akan menyumbang kepada pembentukan persekitaran perniagaan yang berlandaskan undang-undang serta bertaraf antarabangsa di kawasan serantau, dan mempermudah penimbangtaraan untuk menyelesaikan pertikaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here