KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Kesatuan Eropah (EU) menyokong penuh visi penyelesaian konflik Palestin-Israel, menurut Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

OIC dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan, perkara itu dizahirkan Wakil Khas EU untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Sven Koopmans semasa pertemuan dengan Penolong Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Palestin OIC Samir Bakr di Jeddah, semalam.

Koopmans turut menggesa semua pihak terlibat menggandakan usaha untuk memulihkan proses damai berdasarkan resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab 2002.  

Selain membincangkan isu terkini di Palestin, Samir turut menekankan kepentingan sokongan politik dan ekonomi oleh EU kepada Palestin serta Agensi Bantuan dan Kerja bagi Penduduk Pelarian Palestin (UNRWA).

Beliau berkata tekanan terhadap Israel mesti diteruskan untuk mendesak rejim itu menghentikan pencabulan dan serangan terhadap rakyat Palestin, tanah dan tempat tinggal mereka.

Ahad lepas menandakan ulang tahun ke-53 peristiwa hitam serangan oleh extremis dari Australia Denis Michael Rohan yang bertindak membakar Masjid Al Aqsa sebagai cubaan untuk mengubah struktur geografi Al Aqsa dan memaksa masjid itu dipisahkan daripada penduduk Palestin.

Kebakaran berkenaan telah memusnahkan sebahagian tapak masjid dan artifak berharga di masjid itu.

Al Aqsa ialah masjid ketiga suci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. 

Dalam kenyataan berasingan, OIC mengulangi sokongannya kepada hak rakyat Palestin dan kedaulatan tanah Palestin termasuk Baitulmaqdis Timur daripada pendudukan Israel sejak 1967.

OIC turut menegaskan bahawa Masjid Al Aqsa ialah tempat ibadah suci bagi umat Islam dan menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan serius untuk menghentikan serangan serta pencerobohan berterusan rejim Israel ke atas masjid itu.

Menurut OIC, rakyat Palestin perlu diberi hak untuk menentukan hala tuju masa depannya sendiri dan menubuhkan semula negara Palestin berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here