KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dianjur Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) di perkarangan luar Istana Negara semalam. 

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor dalam satu kenyataan hari ini, berkata sehubungan itu pihaknya memohon penganjur perhimpunan tampil ke balai polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya mendapati tiada sebarang permohonan oleh penganjur untuk mengadakan perhimpunan berkenaan yang disertai kira-kira 300 orang berpakaian serba hitam.

Perhimpunan diadakan kira-kira 2 petang semalam, dilapor bertujuan menyerahkan memorandum memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

 Amihizam turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini selain tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran yang sah.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi  Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Dalam perkembangan lain, satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan sebanyak 36,7000 pil ecstasy dan 1.164 kilogram dadah bernilai lebih RM708,000 dirampas, susulan penahanan seorang lelaki tempatan, Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Vista Mutiara Kepong dalam Op Otto yang dilancarkan di sekitar ibu kota. 

“Sindiket ini didalangi warga tempatan yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lepas dan menjadikan kondominium sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata semakan mendapati lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah dan direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan, manakala anggota sindiket yang lain juga masih dikesan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here