ALOR SETAR, 2 Sept — Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi melaksanakan tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dalam usaha meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan projek itu termasuk di Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan.

“Sebanyak RM239 juta juga diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh Kedah, merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di Stadium Darul Aman di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. 

Jelajah AKM Negeri Kedah merupakan edisi kesembilan AKM selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor. 

Selain itu perdana menteri berkata 844 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kini dibina dan dibaik pulih di Kedah, melibatkan peruntukan keseluruhan RM15.7 juta yang memberi manfaat kepada lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar. 

Cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia di Kedah, Ismail Sabri berkata kerajaan merancang membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) di Sungai Petani di bawah peruntukan Rolling Plan Keempat, RMK12. 

Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan RM1.13 bilion bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada, demi masa depan Keluarga Malaysia di Kedah. 

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa peka dan prihatin mengenai kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di Kedah menjalankan kegiatan harian dengan selamat serta selesa.

“Sehubungan itu, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas,” katanya. 

Perdana menteri berkata kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik untuk kemudahan Keluarga Malaysia. 

Menurut Ismail Sabri bagi mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand, kerajaan akan membangunkan laluan empat lorong dari Pokok Sena ke Bandar Durian Burung. 

“Sesungguhnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara termasuk di Kedah, bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpingggir daripada nikmat pembangunan negara,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here