KUALA LUMPUR, 5 Sept — Syarikat perkhidmatan dan infrastruktur teknologi maklumat, NTT Ltd telah mengumumkan pembinaan pusat data keenamnya di Cyberjaya, sejurus selepas selesai penyiapan pusat data kelima (CBJ5) firma itu pada tahun lepas.

Awalnya, syarikat berkenaan merancang untuk melabur lebih US$50 juta (US$1=RM4.49) di pusat data baharu yang dikenali sebagai Cyberjaya 6 (CBJ6). 

Ini akan menyokong CBJ5 yang meliputi kurang daripada 20,000 meter persegi dengan jumlah beban kemudahan sebanyak 22 megawatt apabila digabungkan dengan CBJ6. 

Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Pusat Data, Yasuo Suzuki berkata Asia Pasifik (APAC) merupakan rantau pertumbuhan utama bagi NTT, yang mana Malaysia mempunyai kedudukan signifikan dalam pelan pelaburan strategiknya.

“Dengan pengembangan ini yang dibuat melalui pelancaran pusat data baharu, NTT akan memacu peluang perniagaan di dalam negara dan juga di seluruh APAC.

“Pelaburan NTT akan menyokong pendigitalan Malaysia serta mempercepatkan pertumbuhan ekosistem digital domestik dan APAC,” katanya dalam satu kenyataan bersama antara NTT dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi itu amat berbesar hati kerana Malaysia merupakan lokasi pilihan bagi pemimpin industri seperti NTT untuk menempatkan pusat data mereka.

“Penubuhan CBJ6 sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan NTT adalah bukti kukuh keyakinan NTT terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab pusat data serantau. 

“Kami yakin bahawa usaha NTT ini akan menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi negara digital, membantu ia mencapai kenaikan 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijana melalui ekonomi digital menjelang 2025,” katanya. 

Kemudahan itu akan memenuhi keperluan perushaan berteknologi tinggi dan ‘hyperscalers’ bagi mempercepatkan transformasi digital merentasi industri di Malaysia ketika negara ini menuju era digital baharu.

Dengan jangkauan global di samping kepakaran operasi tempatan, pusat data NTT menyediakan perniagaan di Malaysia dengan akses kepada portfolio penyelesaian teknologi maklumat serta komunikasi yang luas untuk menyokong pertumbuhan dan keperluan digital, ia juga menjadi syarikat pertama yang menerima status Koridor Raya Multimedia pada 1997. 

“Kabel dasar laut optik MIST1 antara Malaysia, Singapura serta India yang sedang dalam pembinaan, akan membolehkan kesalinghubungan antara CBJ5 serta CBJ6 dalam meningkatkan lagi kesalinghubungan rangkaian Malaysia di peringkat global dan membina kesan sosioekonomi yang mampan,” kata kenyataan itu. 

NTT telah menyokong usaha pendigitalan Malaysia semasa pertemuan dengan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa misi perdagangan dan pelaburannya ke Tokyo pada Mei lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here