KUALA LUMPUR, 15 Sept — Sebanyak 55 daripada 89 syarikat penerbangan asing kini menyambung kembali operasi masing-masing di lima lapangan terbang antarabangsa Malaysia kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April, 2022.

Lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH).

Dalam kenyataan pada Khamis, pengendali lapangan terbang itu menjelaskan perkembangan tersebut seterusnya mendorong pihaknya mencatatkan 1.7 juta pergerakan penumpang antarabangsa pada Ogos 2022 bagi operasi Malaysia dan merupakan peningkatan 7.1 peratus daripada angka pada Julai 2022.

Menurut MAHB antara syarikat penerbangan yang memperkenalkan destinasi antarabangsa baharu bulan lepas ialah Batik Air Malaysia yang memulakan operasi untuk laluan ke Phuket, Thailand dari KUL menerusi tujuh penerbangan seminggu.

Selain itu, Malaysia Airlines Bhd menawarkan dua penerbangan terus baharu dari KUL ke Haneda, Jepun dengan dua penerbangan seminggu selain dari BKI ke Singapura dengan tiga penerbangan seminggu manakala Firefly menyambung semula penerbangan ke Phuket dari PEN menerusi empat penerbangan seminggu, tambahnya.

“Selain penyambungan semula penerbangan dan pengenalan laluan baharu, faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan pergerakan penumpang antarabangsa adalah pelonggaran syarat visa oleh Arab Saudi seterusnya mendorong lebih banyak penerbangan umrah serta pelonggaran syarat kemasukan pelancong bagi pelancong asing ke Malaysia,” jelas MAHB.

Bagi pergerakan penumpang antarabangsa untuk operasi Turkiye oleh MAHB, pihaknya memaklumkan angka itu turut meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 1.5 juta susulan tempoh cuti musim panas.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, pergerakan penumpang domestik bagi operasi Malaysia merekodkan 3.1 juta penumpang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) pula mencatatkan 1.6 juta penumpang masing-masing adalah 65.7 peratus dan 79.1 peratus daripada paras sebelum pandemik pada 2019.

“Semua ini menyumbang kepada pemulihan MAHB dengan jumlah pergerakan penumpang yang dicatatkan adalah 7.9 juta penumpang dengan Malaysia sebanyak 4.8 juta dan 3.1 juta direkodkan oleh ISG, sekali gus menjadi jumlah penumpang tertinggi yang dicatatkan untuk tahun ini setakat ini,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here