KOTA BELUD, 3 Okt — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah meluluskan sebanyak 741 projek pembangunan berskala kecil di Sabah pada tahun ini dengan peruntukan bernilai hampir RM90 juta.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata projek pembangunan berskala kecil melibatkan 26 Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah itu merangkumi komponen infrastruktur, sosioekonomi dan kemudahan awam.

Katanya JKT juga sedang melaksanakan tiga projek berskala besar bernilai RM53 juta di Sabah membabitkan projek membina tempat letak kereta bertingkat di Foh Sang, Luyang dengan kos RM38 juta,  projek membina semula Pasar Awam Putatan (RM5 juta) dan projek membina tapak Tamu Putatan (RM10 juta).

“KPKT akan terus memberi komitmen penuh bagi menjayakan agenda utama dan fokus KPKT iaitu ‘Malaysia Berdaya Huni’ atau ‘Liveable Malaysia’ melalui ciri-ciri persekitaran mampan termasuk aspek infrustruktur fizikal dan persekitaran berkualiti mencakupi fasiliti, pasar awam, pengangkutan dan taman awam.

Ini penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat sekali gus dapat memperkasa komuniti bagi membina Keluarga Malaysia produktif dan sejahtera,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bazar Rakyat Kota Belud di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari serta ADUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan.

Mengenai bazar itu, Reezal Merican dalam sidang medianya berkata projek bernilai RM24 juta yang mula dibina pada Jan 2016 dan diserahkan kepada Majlis Daerah Kota Belud pada Februari lepas itu diharap dapat meningkatkan pendapatan peniaga kecil seterusnya memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata blok bangunan tiga tingkat merangkumi 148 unit gerai basah; gerai kraftangan dan tekstil (78 unit); gerai medan selera (26 unit) dan 60 petak tempat letak kenderaan itu juga dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk Kota Belud bagi mendapatkan bekalan asas dan membuka peluang perniagaan.

Dalam pada itu, Reezal Merican turut mengumumkan penurunan kadar sewa bulanan lot gerai di Bazar Rakyat berkenaan bagi mengurangkan beban ditanggung para peniaga susulan keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Bagi lot gerai pelbagai, kadar sewa bulanan diturunkan sebanyak RM100 (daripada RM500 kepada RM400 sebulan); manakala gerai lot sayur dan barang basah pula diturunkan sebanyak RM50 (daripada RM150 kepada RM100 sebulan) selama setahun bermula November tahun ini hingga November tahun depan.

“Kutipan sewa menjadi sumber pendapatan Majlis Daerah Kota Belud dan ini (penurunan sewa)  bermakna (Majlis Daerah Kota Belud) kehilangan pendapatan asalnya RM20,000. Namun, KPKT akan menanggungnya bagi memastikan sewa dapat direndahkan agar rakyat terbela dalam situasi mencabar ketika ini,” katanya.

Kementerian juga meluluskan kerja naik taraf jalan dan kawasan tempat letak kereta sepanjang 300 meter dengan kos RM300,000 yang siap pada Mei lepas, selain peruntukan RM500,000 lagi antara lain bagi kerja penambahbaikan sistem perparitan, sengkuap serta ruang simpanan barang bertutup, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here