KOTA KINABALU, 7 Okt — Pembentangan Bajet 2023 negara di Dewan Rakyat hari ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan bagi memastikan tiada sesiapa pun tercicir dalam pembangunan arus perdana, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan Sabah mengalu-alukan Bajet inklusif yang menyaksikan peningkatan sebanyak 20.45 peratus peruntukan untuk Sabah tahun depan kepada RM6.3 bilion, berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus mengutamakan pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas menyaksikan pembentangan Bajet 2023 secara langsung menerusi siaran televisyen di Menara Kinabalu, di sini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 bertema ‘Keluarga Malaysia Makmur Bersama’ berjumlah RM372.3 bilion yang merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara.

Hajiji berkata kerajaan negeri menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan bagi memastikan tahap keselamatan Sabah dengan menaik taraf  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu serta menyediakan aset keselamatan tambahan dan membina hospital medan pada tahun depan.

Ketua Menteri itu juga berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi jaminan peruntukan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024 serta pembangunan bandar di sempadan termasuk rangkaian jalan menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia.

Beliau berkata peruntukan RM1.2 billion untuk membaiki sekolah daif termasuk 123 projek di Sabah serta sejumlah RM430 juta lagi untuk membina lima sekolah baharu seluruh negara yang merangkumi sekolah di Sabah seperti  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu, Kiulu, tahun depan adalah penting untuk pembangunan pendidikan.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik pelbagai inisiatif positif terhadap sektor pelancongan, yang akan membantu meningkatkan lagi pendapatan negeri tahun depan dan rancangan kerajaan pusat itu adalah sebagai kesinambungan momentum pemulihan negara daripada pandemik COVD-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here