JEMPOL, 8 Okt — Pasar Tani Kekal (PTK) Palong menjadi yang pertama dijenamakan semula sebagai Pasar Tani Keluarga Malaysia (PTKM).

Majlis perasmian PTKM Palong disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Sembilan di Dataran Seri Jempol hari ini.

Beliau menandatangani plak sebagai simbolik perasmian PTKM itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Peneraju Jelajah AKM Negeri Sembilan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Zainal Abidin Yang Razalli ketika memberi taklimat kepada Perdana Menteri berkata penjenamaan semula itu susulan cadangan Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif pada sidang Dewan Rakyat Ogos lepas supaya sejajar dengan polisi kerajaan selain menjadikan PTK sebagai pasar yang berimej baharu.

Beliau berkata impak pembinaan PTK itu akan meningkatkan nilai jualan peserta sehingga 30 peratus dan mewujudkan seratus peratus peluang pekerjaan bagi komuniti setempat iaitu khusus untuk warga Felda Palong.

FAMA dalam kenyataan pula memaklumkan PTK Palong, yang siap dibina bulan ini dengan perbelanjaan RM2.81 juta, adalah bertujuan mewujudkan peluang pasaran kepada petani dan usahawan bagi memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna.

Menurut FAMA, sehingga kini terdapat 36 lokasi PTK di seluruh negara yang membabitkan 2,201 peserta dengan pencapaian nilai jualan mencecah RM165 juta setakat bulan lepas.

Lima PTK yang masih dalam pembinaan ialah di Seberang Jaya (Pulau Pinang), Kuala Kangsar (Perak), Putrajaya serta Kuala Lipis dan Cameron Highlands (Pahang).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here