MELAKA, 11 Okt — Kestabilan politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat diperlukan untuk meyakinkan seterusnya menarik lebih ramai pelabur ke negara ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata ketidakstabilan politik yang berlaku pada penggal lalu menyebabkan ramai pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat untuk membuat pelaburan di Malaysia.

“Saya bimbang PRU15 ini akan jadi seperti yang terdahulu. Kalau jadi seperti dahulu maka hilang kepercayaan pelabur untuk datang terus melabur ke Malaysia dan begitu juga dengan Melaka.

“Di Melaka ini ada pelabur yang ingin melabur tetapi mereka tunggu dulu. Mereka ingin melihat bagaimana kerajaan di peringkat Persekutuan (stabil atau tidak),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2022 yang turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, 137 peguam syarie menerima tauliah membabitkan sesi 2021 dan 2022.

Semalam, mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO bersetuju tema manifesto bagi PRU15 parti itu ialah ‘Kestabilan dan Kemakmuran.’    

Ditanya mengenai khabar angin beliau akan bertanding sebagai calon Parlimen Masjid Tanah, Sulaiman berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya orang politik… kalau itu disuarakan oleh pucuk pimpinan, dipanggil saya datang, disuruh saya pergi. Itu sahaja… saya menurut apa sahaja (keputusan) oleh pihak pusat, jangan bimbang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi pembentangan Bajet 2023 akan dilaksanakan selepas PRU15 nanti.

“Kita selesaikan dulu (PRU15) sebab tempoh sidang masih ada lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here