LANGKAWI, 16 Okt — Para pelajar yang menerima peranti di bawah Program Perantisiswa Keluarga Malaysia berpuas hati dengan kualiti peranti itu untuk kegunaan pembelajaran mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata beliau mendapat respons yang sangat baik daripada kalangan pelajar dan melihat kebanyakan pelajar itu bersyukur dengan pemberian peranti model terkini serta berkapasiti tinggi berkenaan.

“Ya. Mereka (pelajar) sangat berpuas hati. Kebetulan kita ambil pendekatan berunding dan bincang dengan pelajar waktu kita belum pilih model ini, kita buat ‘sampling’. Kita ambil pelajar di beberapa universiti, kita berikan beberapa jenis peranti. 

Makna mereka cuba gunakan, nak pastikan peranti ini sesuai atau tidak  dengan kerja pembelajaran mereka…banyak yang tak tahu peranti ini lebih hebat daripada komputer riba lagi kalau bagi yang julat tinggi macam kita buat sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peranti siswa itu di Kolej Vokasional Langkawi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Annuar berkata kementeriannya komited dan serius untuk memastikan keseluruhan lebih 200,000 permohonan peranti siswa yang telah diluluskan itu dapat selesai diagihkan kesemuanya sebelum akhir Oktober nanti untuk kemudahan pelajar berkelayakan.

Beliau meminta kerjasama pihak berkaitan termasuk pemimpin serta pengetua untuk mengagihkan seberapa cepat mungkin peranti siswa itu kepada pelajar terpilih nanti.

Katanya baki lagi lebih 200,000 permohonan sedang dalam penelitian untuk proses kelulusan dan proses pengagihan peranti itu kepada pelajar berkelayakan akan selesai sebelum akhir November nanti.

“Sebab saya dah setkan untuk saya punya KPI (Petunjuk Prestasi Utama) sendiri, semua ini selesai dalam tahun ini juga…walaupun saya faham ini jumlah yang sangat banyak. Kerajaan sendiri pun tak pernah menguruskan lagi sebanyak ini peranti dan kalau dulu di kampus saja.

Bila saya buka ke sekolah-sekolah menengah, faham sajalah, sekolah menengah itu ada di pedalaman, di kawasan hulu. Jadi urusan logistik, penghantaran dan sebagainya itu memang mencabarlah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here