PADANG BESAR, 16 Okt — Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, sebuah program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dilihat mampu memupuk dan menyemarakkan semangat patriotik khususnya kepada generasi muda dalam usaha membina sebuah negara bangsa.  

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pertandingan anjuran JaPen Malaysia ini  bagi mengangkat martabat tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara akan menjadi pendorong serta memberi motivasi khususnya kepada generasi muda.

“Pertandingan ini telah mula diadakan sejak tahun 2003 dan sebanyak enam kumpulan telah dipilih ke Peringkat Akhir Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2022 yang mewakili negeri masing-masing iaitu, Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Akhir Peringkat Kebangsaan 2022 “Perkasa Semangat Keluarga Malaysia” di Institut Kemahiran Mara Beseri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Pengarah JaPen Perlis, Azrul Hasan.

Zahidi berkata pertandingan ini dilaksanakan dengan keterlibatan para pelajar daripada   institusi  pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah di seluruh Malaysia, diharap dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang tertentu.

“Saya berharap pertandingan seperti ini dapat meningkatkan bakat mereka dalam industri kreatif dan  Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) ini bertanggungjawab dalam usaha menyemarakkan industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata pertandingan ini dilihat dapat menarik minat rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dalam mempelajari sejarah Malaysia dan mengenali tokoh negara.

“Pertandingan ini juga dilihat mendapat sambutan yang hangat daripada generasi muda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here