KUALA NERANG, 16 Okt — Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak pernah mengeluarkan arahan kepada UMNO bahagian untuk membuat usul dalam mesyuarat perwakilan masing-masing bagi menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebaliknya kebanyakan UMNO bahagian yang telah bermesyuarat pada Jumaat, semalam dan hari ini mengemukakan serta meluluskan usul berkaitan perkara itu atas inisiatif masing-masing.

“Tak ada arahan, itu terpulang kepada UMNO bahagian masing-masinglah. So, semalam kebanyakan UMNO bahagian telah membuat persidangan dan telah membuat beberapa usul.

“Salah satu usul adalah supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi ‘poster boy’ (untuk PRU15) dan calon perdana menteri selepas pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang kali ke-21, di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan kebanyakan UMNO bahagian itu juga selari dengan ketetapan dibuat MT UMNO sebelum ini untuk menjadikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN bagi PRU15 dan calon Perdana Menteri sekiranya BN menang pilihan raya itu.

Ditanya sama ada keputusan sebahagian besar UMNO bahagian itu akan menimbulkan ‘konflik’ tertentu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mahdzir menyangkal andaian itu memandangkan Ahmad Zahid sendiri turut menyokong Ismail Sabri.

“Tak timbul konflik dengan presiden, presiden sendiri bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sasaran menang kerusi Parlimen di Kedah, Mahdzir berkata BN berkeyakinan memperoleh lebih daripada dua dimiliki ketika ini.

Untuk rekod, Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dengan tujuh kerusi dimiliki PH, PAS (3), Pejuang (3) dan BN (2).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here