KANGAR, 17 Okt — VentureTECH Sdn Bhd bersama syarikat penerima pelaburannya, ACME Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd menyerahkan sebuah loji rawatan air modular kepada penduduk Batu Bertangkup di Chuping, dekat sini.

Projek ini dibangunkan di bawah Program PEMACU Komuniti yang merupakan Program Capaian Komuniti oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan VentureTECH.

Ia bertujuan menggunakan perkhidmatan dan produk dipacu teknologi yang boleh memberi kesan langsung kepada segmen komuniti yang memerlukan, terutama kumpulan B40 dan rentan.

Loji itu adalah projek pertama yang dilaksanakan di bawah Program PEMACU Komuniti dan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Satu lagi loji rawatan air modular akan diserahkan kepada penduduk Tanah Timbul di Simpang Ampat di bawah program ini sekali gus menjadikan nilai keseluruhan projek mencecah RM2.5 juta.

Dana disalurkan oleh VentureTECH bagi projek ini yang membolehkan ACME Chemicals menggunakan penyelesaian rawatan air inovatifnya menerusi pembinaan Unit Modular Kompak mudah alih, yang merawat air telaga menerusi proses penapisan fizikal, rawatan kimia dan penggunaan teknologi yang dibangunkan secara dalaman oleh ACME Chemicals dengan menampilkan teknologi penjerapan dalaman khusus, dikenali sebagai Granular Adsorption Media (GAM).

Ini memberikan penyelesaian holistik kepada isu kekurangan air untuk penduduk tempatan melalui pendekatan rawatan bekalan air yang lebih berkesan dari segi kos selain cekap.

Bekalan air bersih ini memenuhi Piawaian Kualiti Air Minum dan dianggarkan untuk disalurkan kepada lima kampung yang mempunyai kira-kira 160 rumah dan sebanyak 1,300 orang penduduk yang kebanyakannya tergolong dalam kategori asnaf.

Loji rawatan air modular yang dibangunkan oleh ACME Chemicals ini dilengkapi dengan sistem automasi menggunakan teknologi IR4.0, iaitu pengesan canggih untuk kawalan automatik bagi keseluruhan loji rawatan air.

Ini membolehkan pemantauan dan penyelenggaraan loji rawatan dilakukan dalam mod kawalan jauh sekali gus menjadikan keseluruhan sistem lebih cekap dan menjimatkan kos.

Penyelarasan ini menjamin bekalan air yang berterusan dan mengurangkan sebarang masalah semasa penyelenggaraan.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kampung Lubuk Machang pada Ahad.

“Beta amat berbesar hati kerana negeri Perlis telah dipilih sebagai tapak projek Program PEMACU Komuniti pertama di Malaysia.

“Beta memuji kerjasama hebat yang melibatkan usaha bersama VentureTECH dengan syarikat penerima pelaburannya ACME Chemicals (M) Sdn Bhd, MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis,” titah baginda.

Baginda bertitah usaha ini adalah satu bentuk usaha murni dan menggambarkan keprihatinan badan korporat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya masyarakat sasaran kampung di negara ini bagi memastikan mereka mendapat keperluan asas yang ideal khususnya bekalan air bersih dan berkualiti.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Dr Zunika Mohamed yang turut hadir pada majlis itu mengalu-alukan usaha bersama antara sektor awam dan swasta dalam Program PEMACU Komuniti.

Beliau berkata program ini mencerminkan konsep pendekatan keseluruhan negara.

Inisiatif loji rawatan air modular ini melengkapkan agenda nasional dalam usaha membasmi kemiskinan tegar melalui pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dalam Rancangan Malaysia ke-12 di lokaliti Batu Bertangkup dan kawasan sekitarnya.

“EPU mengharapkan agar kerjasama ini dapat menjadi teladan bagi penglibatan sektor swasta dalam pelbagai inisiatif dan agenda nasional kerajaan, sekali gus menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor swasta seumpama ini pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat, khususnya rakyat Perlis,” katanya.

Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata Program PEMACU Komuniti menyokong usaha MIGHT, yang menekankan pembangunan inovasi sosial dalam menangani cabaran sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Pelaburan VentureTECH dengan kepakaran teknologi ACME Chemicals serta kerjasama YTSP dan MAIPs adalah perkongsian pintar, strategik dan holistik yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk kampung dan orang awam,” katanya.

Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman berkata Program PEMACU Komuniti adalah selaras dengan prinsip pelaburan impak VentureTECH yang menggalakkan penggunaan kepakaran dan teknologi dalaman serta produk tempatan untuk membangunkan industri tempatan yang lebih berdaya saing dan mampan, seterusnya mewujudkan limpahan sosioekonomi termasuk penyediaan pekerjaan mahir kepada masyarakat secara inklusif.

Pengarah Urusan ACME Chemicals, Fouzi Yunus berkata ACME Chemicals telah mengkaji dan mereka bentuk loji rawatan air dengan konsep modular dan kompak untuk menyediakan penyelesaian yang lebih komprehensif dan bersepadu bagi bekalan air.

“Kami percaya sistem ini dapat membantu kawasan yang menghadapi cabaran, terutama dari segi ruang, bekalan elektrik dan pengangkutan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here