KUALA LUMPUR, 20 Okt — Soal pemilihan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini menjadi perbincangan utama parti dan gabungan politik tanah air, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya itu hari ini.

Di TERENGGANU, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata gabungan itu, tidak menolak kemungkinan menggugurkan muka lama yang kurang sesuai untuk diketengahkan pada PRU15, untuk memastikan calon PH kelak mampu memberi saingan kepada parti lawan.

Mengakui berdepan tugas sukar untuk menyediakan senarai bakal calon, Pengerusi Amanah Terengganu itu berkata beliau kini berusaha meyakinkan ‘orang lama’ untuk berundur dan memberi laluan kepada muka baharu.

“Rakyat kecewa kerana ada yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan prestasi, jadi kita berusaha untuk tonjolkan seberapa banyak muka baharu… saya rasa itulah kehendak rakyat,” katanya kepada Bernama.

PH akan tetap akan meletakkan calon di kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu meskipun PH tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU14.

Di MELAKA, Gerakan Tanah Air (GTA) Melaka akan mempertaruhkan calon dalam kalangan profesional dan ahli perniagaan, sebagai calon PRU15.

Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Melaka Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh berkata antara kriteria calon ialah orang tempatan, berpengaruh, bersih daripada sebarang kes mahkamah terutama berkaitan rasuah dan mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin.

“Kesemua calon berusia antara 30an hingga 50an dan tidak pernah bertanding di mana-mana kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

GTA menyasarkan untuk bertanding di lima kerusi Parlimen di Melaka pada PRU15 iaitu Hang Tuah Jaya, Jasin, Tangga Batu, Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Di JOHOR, BN Johor akan memastikan momentum kemenangan yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) diteruskan pada PRU15, sekali gus membantu menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Pengarah Operasi PRU BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jentera rakan komponen dalam gabungan itu berada dalam keadaan optima ketika ini, untuk berdepan dengan PRU15.

“… kita telah membuat persediaan awal dan momentum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berterusan, untuk memastikan Johor membantu menubuhkan kerajaan Persekutuan nanti,” katanya.

SPR hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan  pengundian awal pada 15 Nov.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA) Datuk Marzuki Yahya berkata gerakan itu sedang dalam proses saringan senarai calon bagi PRU15, dan akan mengumumkannya sebelum 5 Nov ini.

“Calon-calon GTA kita putuskan mengikut kesesuaian kerusi… kita anggar akan bertanding di 120 kerusi Parlimen yang majoriti kaum Melayu. Calon kita berusia 21 tahun dan ke atas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata calon GTA akan bertanding menggunakan nama, logo dan bendera Pejuang pada PRU15, susulan penubuhan gerakan berkenaan masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ditanya mengenai desas-desus bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang dikhabarkan akan mewakili GTA sebagai calon PRU15 di Parlimen Rembau dan Parlimen Port Dickson, Marzuki bagaimanapun mengunci mulut berhubung perkara itu.

“Kita tunggu pengumuman nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here