SINGAPURA, 27 Okt — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Kem Pasir Ris di sini pada hari ketiga lawatan negara Seri Paduka ke Singapura.

Keberangkatan tiba Seri Paduka ke kem latihan komando itu pada kira-kira 11.45 pagi disambut Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dan Panglima Tentera Darat Singapura Brigedier Jeneral David Neo.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka diberikan tabik hormat diraja daripada kawalan kehormatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), disusuli pemeriksaan perbarisan tentera dengan diiringi Ng.

Semasa di kem itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyaksikan demonstrasi pasukan antikeganasan dalam misi menyelamatkan mangsa serta turut menembak peluru latihan ke atas sasaran pengganas simulasi.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan dengan demonstrasi terjun bebas daripada pasukan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) di Airborne-Trooper Training Facility (ATF) dan kemudiannya menaiki satu daripada aset RSAF iaitu helikopter Chinook (CH-47F) selama kira-kira setengah jam.

Delegasi Malaysia yang hadir antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin selaku Pegawai Pengiring dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopalan Menon.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Singapura pada Selasa lepas sempena lawatan negara ke republik berkenaan yang berakhir esok.

Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melawat Pusat Pelawat NEWater (NVC) hari ini, dengan keberangkatan Seri Paduka disambut oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura Grace Fu.

Al-Sultan Abdullah yang berada di fasiliti berkenaan lebih setengah jam bermula pada 9.30 pagi, diberikan taklimat berhubung kaedah pemprosesan rawatan air dengan mengitar semula air yang sudah digunakan dan dibekalkan kepada rakyat Singapura terutamanya sektor perindustrian.

NVC ialah hab pendidikan yang menggalakkan kelestarian air di Singapura dan berkongsi cara penghasilan bekalan air di NEWater dengan menawarkan lawatan interaktif serta bengkel pendidikan kepada pengunjung.

NVC diselia oleh Lembaga Kemudahan Awam (PUB) iaitu sebuah badan berkanun di bawah Kemampanan dan Sekitaran Singapura. PUB adalah agensi yang menguruskan bekalan air, tadahan air, dan air terpakai secara bersepadu di Singapura.

Pada malam ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here