KUANTAN, 29 Okt — Kecekapan tadbir urus kerajaan serta kerjasama Keluarga Malaysia membolehkan negara keluar daripada pelbagai kemelut termasuk pandemik COVID-19 dan krisis geopolitik, untuk terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasilnya, selain prestasi ekonomi negara diiktiraf terbaik di Asia Tenggara, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, Malaysia turut diiktiraf negara ke-18 paling aman di dunia dari 163 negara dan kedua di Asia.

“Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pahang, di sini, hari ini. 

Selain itu, kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan lepas berbanding 4.7 peratus pada Ogos, iaitu lebih rendah berbanding negara serantau seperti Thailand (6.4 peratus) dan Filipina (6.9 peratus) serta negara lain seperti Amerika Syarikat (8.2 peratus).

Beliau berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke Pahang, yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia di negeri itu tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyalurkan subsidi terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM77.7 bilion, antaranya merangkumi subsidi untuk petrol, diesel dan LPG berjumlah RM41.7 bilion.

Subsidi minyak masak paket 1 kilogram dan minyak botol sebanyak RM3 bilion; subsidi bil elektrik RM5.8 bilion; bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion, katanya.

Perdana Menteri turut mengulas mengenai Bajet 2023, bajet terbesar dalam sejarah negara yang menurutnya disusun mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat, bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia tercicir sama ada di desa atau bandar, B40, M40, pelajar, Orang Kurang Upaya, wanita, usahawan dan sebagainya.

Dalam mencapai aspirasi ini, beliau berkata sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi menyahut Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dengan fasa pertama di Pahang, melibatkan lapan lokaliti dan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here