KUANTAN, 2 Nov — Barisan Nasional (BN) Pahang menampilkan lebih 60 peratus daripada 42 jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dengan muka baharu melibatkan 25 calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), suatu langkah yang disifatkan ke arah percambahan idea segar dan baharu.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN Pahang juga mengemukakan 30 peratus calon muda berusia di bawah usia 45 tahun, iaitu 15 calon DUN manakala dua bertanding di Parlimen, selain lapan wanita diberikan kepercayan bertanding atas tiket BN pada pilihan raya kali ini.

Pembahagian kerusi antara parti komponen BN Pahang, juga menurut Wan Rosdy berlangsung tanpa pergeseran atau masalah besar, yang menyaksikan calon yang dipilih adalah mewakili semua pihak berdasarkan persetujuan dan persefahaman atas semangat dan muafakat parti. 

“Saya yakin ini adalah pasukan terbaik yang berupaya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk Pahang. Saya menyeru sokongan dan doa semua pihak serta berilah peluang dan sokongan tidak berbelah bahagi (kepada calon BN). 

“Janganlah ada yang terasa hati, membawa diri atau memboikot usaha kita sehingga kita menjadi gunting dalam lipatan yang bukan budaya kita di Pahang,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di sini hari ini. 

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai calon untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004. 

Pada pengumuman hari ini, Wan Rosdy bagaimanapun tidak menyebut nama calon bagi DUN Cheka dan DUN Sabai, dan ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau hanya menjawab ringkas : “KIV (simpan dalam perhatian)”.

Secara keseluruhannya, setakat ini bagi DUN Pahang, UMNO sah bertanding di 34 kerusi manakala enam oleh MCA.

Pengumuman calon itu dibuat tiga hari sebelum hari penamaan calon yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu ini, yang akan disusuli hari pengundian awal pada 15 Nov sebelum hari pengundian pada 19 Nov ini. 

Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan dan bakinya dimenangi PAS. 

Bagi kerusi Parlimen, BN menang sembilan kerusi manakala PH yang menang lima akhirnya hanya tinggal empat kerusi, selepas Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang bertanding atas tiket PKR menyertai Bersatu pada 2020.

Wan Rosdy dalam pada itu mengingatkan bahawa PRU15 adalah pilihan raya yang sangat penting kerana ia adalah permulaan untuk meletak semula negara ke landasan yang betul, selain bertujuan mengembalikan mandat dan kepercayan kepada rakyat. 

“Kita tidak mahu lima tahun akan datang menjadi satu lagi episod sandiwara dan drama politik musim kedua. Rakyat sudah penat dan negara pun sudah jauh ketinggalan,” katanya.

Wan Rosdy juga turut memberi peringatan kepada calon yang terpilih untuk menggalas perjuangan parti pada PRU15, untuk memberikan yang terbaik serta membuktikan kemampuan untuk berkhidmat degan cemerlang kerana mereka yang memilih jalan politik perlu memberikan yang terbaik kepada masyarakat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here